Sesuatu yang terbuku di hati

Thursday, August 6, 2009 at 7:58:00 AM

“Adik tak boh duk ngan tok ekpong” (Sebab adik tak mahu duduk dengan tok). Kata –kata yang pasti akan terngiang-ngiang di telinga sehingga akhir hayatku. Terasa sekali pemergiannya kini tetapi aku sedar sesungguhnya Allah lebih meyayangi dirinya dan aku redha. Dia umpama ibuku. Tidak pernah sekali baginya untuk meninggikan suaranya padaku melainkan hanya kata – kata sabar dan peringatannya pada Allah. “Tok bukan tak boh duk umah adik” (Tok bukan tak mahu duk umah adik) seringkali diungkapkannya ketika bertandang ke rumah ku. Teringat aku waktu dirinya masih gagah, pasti dia akan berkunjung ke rumah. Menaiki teksi ataupun bas, bersusah payah dengan kudrat tuanya hanya untuk melihat cucu – cucu yang dibesarkannya bagai anak sendiri. Waktu kecilku banyak dihabiskan di rumahnya. Sejak aku dilahirkan aku dibesarkannya sehingga berumur tiga tahun dan setiap kali cuti sekolah pasti ibu bapaku akan menghantarku ke kampung. Waktu itu dia masih mampu menguruskan kedai tinggalan arwah atok. Setiap pagi, aku, abangku dan dua orang sepupuku serta nenek akan bersama-sama memanjat dan menuruni bukit - bukit. Aku kagum akan dirinya. Tidak sekali terpancar penat di wajahnya. Membuat aku terfikir kenapa orang muda sepertiku tidak segagahnya. Berlainan pula di hujung minggu...pasti kami akan berkumpul mendengar ceritanya. Nenekku memang gemar bercerita samaada kisah dirinya, kisah anak – anaknya, kisah orang – orang tua, hantu mahupun kisah aku sendiri. Pernah sekali dia tercari – cari apa yang mahu diceritakan, aku memintanya menceritakan kisah – kisah seperti Sang Kancil dan Buaya, yang seringkali diajarkan di sekolah tetapi katanya “Tok dok tahu cerita-cerita gitu” mendengar jawapannya sebegitu, jiwa kanak-kanakku menyuruhnya mereka apa sahaja cerita seumpama itu tetapi balasnya “ Allah maroh kita reka-reka cerita. Dok baik. “ (Allah murka kita mereka-rekakan cerita, tak baik) katanya. Waktu itu tentu sekali aku merajuk. Aku belum pun mengerti kata-katanya. Bagiku kalau sekolah boleh memberikan cerita-cerita sedemikian kepada pelajarnya, kenapa nenekku tidak boleh. Ya nenekku bukanlah lepasan sarjana yang mampu meluahkan kata – kata yang bisa memukau pendengarnya tetapi ia memberi kesan yang mendalam bagiku. Setiap bait kata yang terluah dari bibirnya mempunyai nasihat dan pedoman untuk cucu – cucunya. Nenekku juga menyemai perasaan sayangku pada arwah atok. Arwah atok kembali ke Rahmatullah sewaktu umurku 1 tahun. Tentu sekali aku belum mengerti dan mengingati dirinya. Tetapi cinta dan kasihnya seorang isteri kepada arwah suaminya membuatkan aku begitu mengagumi keduanya. Jodoh keluarga yang berkekalan sehingga akhir hayat. Aku mengimpikan seorang lelaki seperti atok, bagiku lelaki sepertinya sukar dicari ganti. Sepertinya juga tidak wujud lagi. Aku juga mengagumi nenekku. Bagi dirinya hanya atok yang layak menghiasi hatinya dan hanya atok yang akan ditunggunya. Pernah diceritakan bagaimana dia dijodohkan dengan atok. Kedengarannya seperti mencuit hati tetapi sejujurnya aku juga mengimpikan percintaan sepertinya. Nendaku yang kusayangi, begitu menyayangi diriku. Aku ditatangnya bagai anak sendiri tiada lagi istilah cucu baginya. Dia yang menjagaku sejak aku dilahirkan lantaran ibuku terpaksa bejauhan dengan diriku demi sesuap rezeki. Bahkan aku merasakan hubunganku dengan dirinya lebih rapat berbanding dengan ibuku. Ketakutanku, kegembiraanku, rahsiaku, kesedihanku semuanya diceritakan kepadanya. Dan tentu sekali kata-kata bersulam nasihat pasti kuterima darinya. Masih terbayang di mataku betapa dia menyayangi diriku sehinggakan melupakan kesakitan dirinya hanya semata – mata ingin menolong diriku. Ya Allah, betapa berdosanya diriku rasakan. Aku tidak menunaikan hajatnya untuk tinggal bersamaku. Aku menunggu hari itu tetapi sudah tersirat bahawa hari itu takkan pernah tiba. Aku terlalu merinduinya. Malam – malamku sering bermimpi akan kehadirannya. Memang sukar untukku menerima hakikat yang dirinya sudah tiada lagi tetapi aku tahu sejauh mana aku menyayanginya Allah lebih berhak ke atasnya. Ya Allah, Kau sayangilah dirinya sebagaimana dia meyayangi diriku. Kau tempatkanlah dia di kalangan orang – orang yang beriman. Sesungguhnya hanya kepada Mu aku bermohon pertolongan. Kini baru kusedar mengapa pelukan terakhirku padanya terasa begitu asing sekali . Baru kusedar mengapa dia menolak pelawaanku untuk bersama-sama ke konvokesyenku tanpa sebab. Pesanku pada teman hargailah mereka yang kita sayangi selagi punya waktu. Al- Fatihah buat nendaku yang tersayang.




Baca selanjutnya

0.01

at 7:42:00 AM


Angka yang kecil bagi kebanyakkan orang namun, membawa seribu satu erti pada diriku. Melaluinya ku mengenal erti dengan sedikit perlakuan akan memberi seribu satu erti bagi orang lain. Melaluinya juga aku menyedari betapa pentingnya membina kepercayaan orang lain pada kita dan membuat aku terfikir bagaimana ada insan yang boleh mempercayai dan mempertahankan diriku walaupun mereka tidak mengenali diriku dengan sepenuhnya. Melalui 0.01 juga aku menyedari betapa angkuhnya manusia bila mereka berada pada pangkat yang jauh lebih tinggi daripada yang meminta. Aku juga mempelajari bagaimana manusia sanggup melemparkan kata – kata dusta dan menunding pada yang lain demi menyelamatkan diri sendiri. Aku juga menyedari mengapa bangsaku ini tidak akan pernah maju dan bersatu antara satu sama lain lantaran sikap angkuh dan terlalu mengagungkan bangsa lain. Aku juga menyedari betapa tiada dan rapuhnya keadilan pada pertimbangan seorang manusia. Aku juga menyedari betapa pentingnya kebijaksanaan dan kesabaran dalam mengawal diriku berdepan fitnah dan dusta. Aku tidak berdendam kepada mereka – mereka itu bahkan berterima kasih kerana mengajarkan ku pelajaran yang takkan pernah diajar dalam kurikulum sekolah. Sesungguhnya dengan 0.01 menyedarkan aku agar jangan meremeh –remehkan sesuatu walau sebesar zarah, pasti akan mendatangkan kesan kepada sesiapa sahaja, mungkin menjadi suatu penyesalan yang tiada penghujungnya. Syukur ku panjatkan kepada Ilahi kerana aku makin mengenali makhluk yang bergelar manusia.




Baca selanjutnya

Tolong beritahu si dia!

Saturday, October 11, 2008 at 7:28:00 PM

Tolong sampaikan pada si dia!
Tolong beritahu si dia aku ada pesanan buatnya..
Tolong beritahu si dia, cinta agung adalah cintaNya..
Tolong beritahu si dia, cinta manusia bakal membuatnya alpa..
Tolong nasihati sia dia, jangan menyintaiku lebih dari dia menyintai Yang Maha Esa..

Tolong nasihati si dia, jangan mengingatiku lebih dari dia mengingati Yang Maha Kuasa..
Tolong nasihati si dia, jangan mendoakanku lebih dari dia mendoakan ibu bapanya..
Tolong katakan pada si dia, dahulukan Allah kerana di situ ada syurga..
Tolong katakan pada si dia, dahulukan ibu bapanya kerana di telapak itu syurganya..
Tolong ingatkan si dia…aku terpikat kerana imannya bukan rupa..
Tolong ingatkan si dia…aku lebih cintakan zuhudnya bukan harta..
Tolong ingatkan si dia aku kasihinya kerana santunnya..
Tolong tegur si dia, bila dia mula mengagungkan cinta manusia..
Tolong tegur si dia, bila dia tenggelam dalam angan-angannya..
Tolong tegur si dia, andai nafsu mengawal fikirannya..
Tolong sedarkan si dia… aku milik Yang Maha Esa..
Tolong sedarkan si dia… aku masih milik keluarga..
Tolong sedarkan si dia, tanggungjawabnya besar kepada keluarganya..
Tolong sabarkan si dia, usah ucap cinta di kala cita-cita belum terlaksana..
Tolong sabarkan si dia, andai diri ini enggan dirapati kerana menjaga batasan cinta..
Tolong sabarkan si dia, bila jarak menjadi penyebab bertambah rindunya..
Tolong pesan padanya…aku tidak mahu menjadi fitnah besar kepadanya..
Tolong pesan padanya…aku tak mahu menjadi punca kegagalannya..
Tolong pesan padanya aku membiarkan Yang Esa menjaga dirinya..
Tolong khabarkan pada si dia…aku tidak mahu melekakan dia..
Tolong khabarkan pada si dia…aku mahu dia berjaya dalam impian dan cita-citanya..
Tolong khabarkan pada si dia, jadilah penyokong dalam kejayaanku..
Tolong sampaikan pada si dia…aku mendambakan cinta suci yang terjaga..
Tolong sampaikan pada si dia,cinta kerana Allah tidak ternilai harganya..
Tolong sampaikan pada si dia, hubungan ini terjaga selagi dia menjaga hubungan dengan Yang Maha Kuasa..Tolong sampaikan kepada si dia kerana aku tidak mampu memberitahunya sendiri…

Hanya engkau Ya Allah mengetahui siapa si dia..Moga pesananku sampai padanya walau aku sendiri tidak mengetahui siapa dan dimana si dia..
Moga dia seekor lebah yang sentiasa memuji keagungan Yang Maha Kuasa memasuki taman larangan dengan sopan santunnya dan bertemu mawar berduri yang terjaga oleh tuannya..
Simpanlah pesanan ku ini sehingga engkau bertemu diriku suatu hari nanti…

Baca selanjutnya

Tensai 2009 | Powered by Blogger | Entries (RSS) | Comments (RSS) |